Abah (Pt 5)

Assalamualaikum.

Walaupun abah dah tak ada, Ida rasa Ida tetap nak ceritakan pasal abah kat sini.


Masa mula-mula abah warded, yang mana puncanya bila oxygen abah terlalu rendah selepas buat biopsy di PPUM hari tu, Ida masih in denial phase. Ida memang tak post/share kepada sesiapa or dekat mana-mana medium. Ida diam. Sebab bagi Ida, apa pun sakit yang abah alami, abah mesti akan sembuh.

Padahal kelulusan sains. Padahal Ida belajar semua ni masa study dulu. Tapi tu lah, Ida tak percaya abah ada cancer.


Abah pulak selalu menampakkan diri abah kuat, seolah-olah abah tak sakit. Bila abah nampak kuat, lagi Ida percaya yang abah tak sakit pun sebenarnya.


Masa kawan abah datang ziarah, abah cerita semuanya dari awal sehinggalah macam mana abah boleh warded dekat kawan abah tu. Masa tu, abah kata


"Aku ingatkan TB, batuk teruk, doktor pun ingat TB. Macam-macam test dah buat, tak dapat TB. TB taknak aku, kanser yang nak aku."

Abah cakap sambil ketawa besar. Masa ni Ida senyum je. Tapi air mata dah menitik-nitik dah atas baju abah sebab Ida tumpang letak kepala dekat bahu abah masa ni. Abah tetap dengan diri abah, kuat bergurau. Suka menceriakan suasana.


Ada satu malam tu, lepas mengaji Ida rasa nak video call abah. Biasa lah, rindu. Ida call and tanya khabar abah, lepas tu abah menangis. Ida rasa Ida tak pernah nampak abah menangis seteruk tu. Ida and abah dua-dua diam tak berkata, tapi menangis sama-sama. Abah kata abah susah bernafas.

Diam-diam, abah sebenarnya bersedih dengan apa yang abah lalui tu. Abah jarang sakit. Paling dahsyat pun abah sakit gigi. Abah tak pernah sakit teruk. Tapi bila jadi macam ni, di usia yang tak berapa nak tua dan tak berapa nak muda, abah jatuh sakit, sakit yang maha dahsyat. Hanya abah dan Allah saja yang tahu sakit ditanggung tu.


Masa fasa ni, abah masih mampu makan nasi, masih boleh berjalan untuk ke tandas, masih mampu ketawa besar, masih ada suara. Masa ni abah masih kuat. Cuma bergantung kepada tong oxygen with flow rate yang rendah.

Selepas seminggu abah warded, kami mintak doctor discharge abah. Alhamdulillah abah dapat balik kampung halaman. Dapat bermain dengan Fia, cucu perempuan sulung abah. Seronok tengok abah happy masa hari nak discharge tu. Kakak-kakak memang dah prepare semua tong oxygen yang portable, machine oxygen untuk dalam rumah, kerusi plastik untuk abah duduk waktu mandi. Semua dah sedia.


Seminggu abah dapat duduk Melaka dan berjumpa adik-beradik, kawan-kawan dia. Adik abah, Pakbik pun dapat keluar makan malam dengan abah, abah berbekalkan pump semput abah pergi ke kedai makan malam tu. Haha semua risau sebab abah pergi tak bagitahu sesiapa pun. Alhamdulillah, rupanya abah masih boleh bertahan tanpa tong oxygen masa tu. Abah makan bakso. Sedap betul abah kata bakso kedai tu. Sampaikan sehari sebelum abah meninggal tu abah masih sebut-sebut pasal bakso tu.


Hujung minggu tu abah dan Pakbik keluar sampai ke Perak untuk cari alternatif rawatan tradisional. Kami tak halang sebab masing-masing tahu abah sedang berusaha mencari rawatan.


Balik sahaja dari Perak, Ida jumpa abah dekat rumah Izzati. Masa ni dapat peluk abah rasa macam lega sangat. Rindu yang teramat sangat. Abah pun peluk sambil cakap, 

"Sampai pun anak bongsu abah ni, nasib nampak mana satu abah"


Abah cakap macam tu sebab kat situ ada Pakbik sekali haha. Walaupun abah dan Pakbik adik-beradik, muka diorang lain! Takkan lah Ida boleh tersilap yang mana abah yang mana pakcik sedara.


Sepanjang hari tu memang melekat je lah Ida duduk sebelah abah. Sampailah waktu maghrib, abah nak ambil wuduk untuk solat. Keluar je bilik air, abah datang dekat Ida abah bagitahu abah rasa mengah. Abah kata sebab rumah Izzati tinggi sangat, oxygen tak sampai. Cepat-cepat abah pakai mesin oxygen tu sambil duduk cuba menenangkan diri. Bila dah rasa okay, abah teruskan solat.

Malam tu, abah berborak pasal macam mana Rasulullah percayakan Khalid al-Walid dan tentera Islam dalam peperangan, sehinggakan Rasulullah yakin Rom akan menang. Abah cerita banyak sangat, tentang pedang Saidina Ali, ceritakan macam mana Rasulullah wafat. Semuanya diselang-seli dengan info dari kak long jugak. Sama-sama duduk berborak. Abah cerita macam mana al-Quran dulu-dulu tu berbeza dengan Rasm Usmani. Macam-macam benda Ida tahu hari tu. Rasa macam wow ingatan abah sangat kuat! Terutamanya zaman-zaman abah remaja dan zaman abah belajar agama.


Lepas abah makan, dah nak pukul 10pm macam tu, abah mengah lagi. So abah guna tong oxygen tu untuk bernafas lancar. Sambil tu Ida bukak channel al-Hijrah, ada siarkan bacaan al-Mulk. Ida baca lah kuat-kuat sambil abah bersandar sebelah Ida. Mula-mula abah dengar sekali, tiba-tiba Ida rasa kepala abah makin melentok. Dengar abah berdengkur, ohh tertidur dah rupanya. Mungkin letih sangat baru sampai dari Perak.


Dah nak pukul 12am macam tu, Wany dan mak sampai dari Melaka. Ceria abah bila nampak diorang, terutama nampak Fia si cucu kesayangan. Dapat abah peluk cium Fia. Seronok sangat nampak semua orang happy. Alhamdulillah. Ida pun balik rumah sewa sendiri lepas nampak mak dan Wany sampai.


Nanti Ida sambung lagi.

Comments